RSS

Saturday, October 10, 2009

Hari-hari Terakhir...

Hari ini merupakan hari terakhir saya ke sekolah memandangkan Isnin ini merupakan tarikh due date bersalin. Lagi pun sejak akhir-akhir ini kaki saya kerap kejang dan rasa kurang selesa di perut ketika memandu. Setelah mempertimbangkan nasihat suami dan rakan-rakan yang bimbangkan keselamatan saya, saya mengambil keputusan untuk bercuti mulai Isnin ini. Dengan doa dan harapan saya akan bersalin pada hujung minggu ini.

Alhamdulillah, rasanya semua tugasan sudah saya selesaikan. Kertas soalan akhir tahun yang sepatutnya dihantar isnin depan sudah saya serahkan kepada kak Umil dan kak Amnah. Semua fail PEKA tingkatan 1 sudah diletakkan di makmal sains agar memudahkan pihak sekolah mendapatkannya sekiranya ada pelajar yang berpindah sekolah sepanjang saya bercuti nanti. Duit Kelas 1 A sudah saya serahkan kepada Cikgu Atikah yang akan membantu pelajar-pelajar kelas saya yang excited untuk mengadakan jamuan akhir tahun walaupun sesi persekolahan masih berbaki sebulan lebih dan yang paling penting ialah projek mufrodat Bahasa Arab untuk pelajar-pelajar tingkatan 3 tahun hadapan. Saya sudah memaklumkan kepada ustaz Azri dan beliau juga bersetuju untuk mengagihkan buku teks tingkatan 3 kepada pelajar-pelajar sebelum cuti hujung tahun ini memandangkan projek itu perlu diselesaikan dalam tempoh cuti hujung tahun ini. Saya berharap agar usaha ini dapat menyuntik semangat awal untuk pelajar-pelajar ini cemerlang dalam PMR terutamanya dalam subjek Bahasa Arab. Semoga tempoh bercuti dan berpantang ini dapat saya lalui dengan tenang. Laporan tahunan program untuk Panitia Bahasa Arab dan minit mesyuarat sudah saya siapkan dan simpan di dalam fail panitia.

Begitulah antara tugasan luar bilik darjah seorang guru. Selepas ini saya akan mendapat jawatan baru pula dan naik pangkat sebagai Umi yang lebih besar lagi cabarannya. Moga-moga saya dapat memikul amanah jawatan ini dengan sebaik mungkin. Sebelum balik, saya bersalaman dengan sahabat-sahabat mohon didoakan agar selamat dan cepat bersalin. InsyaAllah panjang umur, akan berjumpa lagi tahun hadapan.

0 comments:

Post a Comment