RSS

Saturday, October 24, 2009

CINTA TIADA BATASAN

Sejak menempuhi pengalaman bersalin, saya sering bermonolog, memuhasabah diri, menilai kembali bertapa tingginya nilai pengorbanan insan bergelar ibu kerana itu besar dosanya apabila menderhaka kepada ibu. Hanya mereka yang pernah menempuhi pengalaman melahirkan dan membesarkan akan lebih mengerti bertapa tinggi melangit pengorbanan seorang ibu demi melihat anaknya agar sentiasa sihat, selamat dan gembira. Membesar dengan penuh kasih sayang. Cinta yang paling ikhlas dan tulus selepas Allah dan Rasul. Lihatlah ibu, sanggup mengorbankan dirinya demi seorang anak. Walau pun belum tentu anak mampu membalasnya kembali. Seorang ibu mampu untuk menjaga 10 orang anak. Namun 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibunya dengan ikhlas dan sempurna. Yang seringkali terjadi ialah menjaga ibu dan ayah menjadi beban yang digalas di bahu anak bukannya tanggung jawab. Oleh itu janganlah kita menghampakan harapan ibu dan ayah. Kita tidak tahu berapa hari lagi yang tinggal untuk kita terus berbakti dan membalas jasa mereka kerana mengikut hokum alamnya merekalah yang akan meninggalkan kita Sedangkan kasih sayang mereka tidak pernah luak dan berubah dari saat pertama kita dilahirkan hinggalah ke saat ini. Sayangilah mereka sebelum terlewat kerana setinggi mana sayang kita pada mereka, tinggi lagi cinta dan kasih mereka kepada kita.

KISAH KELAHIRAN

Hari ini masuk hari ke-8 saya menjalani tempoh berpantang. Ini bermakna sudah 8 hari saya bersalin. Menempuhi pengalaman pertama bersalin memang mendebarkan. Yelah kata orang sakit yang paling sakit selain mati ialah sakit bersalin. Memang saya akui kebenarannya. Syabas saya ucapkan kepada ibu-ibu yang pernah melalui pengalaman bersalin secara normal. Anda memang HEBAT! J. Setelah masuk wad antenatal pada 13 Oktober, sehari selepas tarikh due date bersalin, akhirnya saya berjaya melahirkan putera sulung kami pada 15 Oktober pada jam 3.12 pagi.

Namun begitu suami tiada di sisi saya sewaktu saat kelahiran putera kami kerana bilik rakan suami yang disediakan oleh pihak hospital diberhentikan perkhidmatannya kerana digunakan sebagai bilik kuarantin pesakit H1N1. Suami saya agak kecewa. (Jangan risau bang, InsyaAllah bersalin lepas ni abang boleh temankan J.) Hanya kalimah Hamdallah yang meniti dibibir saya saat selesai melahirkannya. Hanya Allah dan mereka yang pernah melaluinya sahaja yang tahu.

Amat terharu sekali apabila pertama kali mendengar tangisannya. Hati saya menangis disaat nurse menciumkan pipinya kepada saya. Namun bayi saya terpaksa di bawa terus ke NICU kerana lambat menangis dan mengalami masalah grunting kerana lambat di pintu. Maklumlah pertama kali bersalin. Lagipun pemikiran saya sudah negative thinking sejak mula saya masuk ke dewan bersalin. Ketika tangan saya dicucuk untuk diisi air, pada awalnya mahu dilakukan oleh doktor yang ada. Saya juga confident dengan caranya. Namun datang seorang doktor pelatih yang mahu melakukannya. Tangan kiri saya sudah terasa sakit dicucuk namun urat darahnya masih belum ditemui. Ini membuatkan saya rasa berang. Dahla kita memang tengah sakit. Akhirnya doktor yang pertma tadi terpaksa mencari urat di tangan kanan dan berjaya. Begitulah antara pengalaman di dewan bersalin.

Ketika ditolak keluar dari dewan bersalin jam menunjukkan 5.30 pagi. Senyum pertama saya lemparkan pada suami yang setia menunggu di luar dewan bersalin walau pun rasa sangat letih dan tidak bermaya. Suami juga nampak begitu keletihan. Semalaman tidak tidur menanti saya dan bayi kami. Suami hanya dapat mengazankan bayi kami di NICU. Namun begitu saya telah berpesan kepada salah seorang doktor pelatih lelaki yang bertugas di dewan bersalin untuk mengazankannya sejurus selepas dia dilahirkan. Setibanya di wad postnatal tangan suami saya salam dan cium sambil melafazkan “Tahniah! Abang dah jadi walid”, Suami membalas sambil tersenyum “Sayang pun, Tahniah! Dah jadi umi”, Allahu Akbar! Indahnya saat menerima anugerah cahaya mata dari Yang Esa. Syukran Ya Robb…

Friday, October 23, 2009

Muhammad Fathi bin Mohd Shafiq

Location: Hospital Teluk Intan

Nama: Muhammad Fathi bin Mohd Shafiq
D.O.B: 15.10.2009 (Thursday) @ 3.12 a.m.
Berat: 2.8 kg
Tinggi: 51cm
Ukur lilit kepala: 32cm
Lahir secara normal, masuk wad hari Selasa, balik hari Jumaat petang selepas Muhammad sihat & discharge dari wad NICU...
Berpantang di rumah mak di Sg. Lampam, Teluk Intan...

Doakan kesejahteraan, keselamatan & kesihatan isteri (Hidayah) & anak kami (Muhammad)...

Saturday, October 10, 2009

Penantian Yang Belum Berakhir…


Hari ini sudah masuk 9 Oktober. Ini bermakna 3 hari lagi due date tarikh bersalin saya. Semalam saya ke klinik untuk pemeriksaan kandungan kali terakhir. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik. “Dah ada rasa sakit-sakit ke?” tanya Nurse. “Ehm.. Ada la sikit-sikit”. Memang la ada terasa sakit-sakit tapi hakikatnya saya sendiri tidak tahu bagaimana rasanya sakit mahu bersalin. Maklumlah kali pertama menempuhinya masih belum berpengalaman menjadi ibu. Memang sehari dua ini terasa sakit yang agak luar biasa tapi hanya sekali-sekala sahaja. Suami pula semakin hari semakin bimbang. Almaklumlah Kuala Lumpur ke rumahku mengambil masa 2 jam. Bimbang saya bersalin di saat dia tiada di sisi. Kami sentiasa berdoa agar anak kami lahir disaat suami di sisi.


Terasa lama sungguh penantian saat kelahiran ini. Apatah lagi rakan dan sepupu-sepupu yang hampir sama tarikh duenya dengan saya sudah bersalin. Nurse sudah memaklumkan sekiranya 12 Oktober ini saya belum bersalin, saya perlu ke hospital berhampiran setiap hari untuk pemeriksaan janting bayi . Waduh! Prosuder yang perlu dipatuhi. Saya dan suami berdoa dan solat hajat mohon agar Allah mudahkan dan cepatkan saya bersalin. Saya berdoa dan berharap agar anak sulung kami ini dapat secara normal dan selamat semuanya.


Sahabat2.. Doakanlah agar saya dapat bersalin dengan normal dan selamat.


Allahumustaan…..

Hari-hari Terakhir...

Hari ini merupakan hari terakhir saya ke sekolah memandangkan Isnin ini merupakan tarikh due date bersalin. Lagi pun sejak akhir-akhir ini kaki saya kerap kejang dan rasa kurang selesa di perut ketika memandu. Setelah mempertimbangkan nasihat suami dan rakan-rakan yang bimbangkan keselamatan saya, saya mengambil keputusan untuk bercuti mulai Isnin ini. Dengan doa dan harapan saya akan bersalin pada hujung minggu ini.

Alhamdulillah, rasanya semua tugasan sudah saya selesaikan. Kertas soalan akhir tahun yang sepatutnya dihantar isnin depan sudah saya serahkan kepada kak Umil dan kak Amnah. Semua fail PEKA tingkatan 1 sudah diletakkan di makmal sains agar memudahkan pihak sekolah mendapatkannya sekiranya ada pelajar yang berpindah sekolah sepanjang saya bercuti nanti. Duit Kelas 1 A sudah saya serahkan kepada Cikgu Atikah yang akan membantu pelajar-pelajar kelas saya yang excited untuk mengadakan jamuan akhir tahun walaupun sesi persekolahan masih berbaki sebulan lebih dan yang paling penting ialah projek mufrodat Bahasa Arab untuk pelajar-pelajar tingkatan 3 tahun hadapan. Saya sudah memaklumkan kepada ustaz Azri dan beliau juga bersetuju untuk mengagihkan buku teks tingkatan 3 kepada pelajar-pelajar sebelum cuti hujung tahun ini memandangkan projek itu perlu diselesaikan dalam tempoh cuti hujung tahun ini. Saya berharap agar usaha ini dapat menyuntik semangat awal untuk pelajar-pelajar ini cemerlang dalam PMR terutamanya dalam subjek Bahasa Arab. Semoga tempoh bercuti dan berpantang ini dapat saya lalui dengan tenang. Laporan tahunan program untuk Panitia Bahasa Arab dan minit mesyuarat sudah saya siapkan dan simpan di dalam fail panitia.

Begitulah antara tugasan luar bilik darjah seorang guru. Selepas ini saya akan mendapat jawatan baru pula dan naik pangkat sebagai Umi yang lebih besar lagi cabarannya. Moga-moga saya dapat memikul amanah jawatan ini dengan sebaik mungkin. Sebelum balik, saya bersalaman dengan sahabat-sahabat mohon didoakan agar selamat dan cepat bersalin. InsyaAllah panjang umur, akan berjumpa lagi tahun hadapan.