RSS

Saturday, October 24, 2009

CINTA TIADA BATASAN

Sejak menempuhi pengalaman bersalin, saya sering bermonolog, memuhasabah diri, menilai kembali bertapa tingginya nilai pengorbanan insan bergelar ibu kerana itu besar dosanya apabila menderhaka kepada ibu. Hanya mereka yang pernah menempuhi pengalaman melahirkan dan membesarkan akan lebih mengerti bertapa tinggi melangit pengorbanan seorang ibu demi melihat anaknya agar sentiasa sihat, selamat dan gembira. Membesar dengan penuh kasih sayang. Cinta yang paling ikhlas dan tulus selepas Allah dan Rasul. Lihatlah ibu, sanggup mengorbankan dirinya demi seorang anak. Walau pun belum tentu anak mampu membalasnya kembali. Seorang ibu mampu untuk menjaga 10 orang anak. Namun 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibunya dengan ikhlas dan sempurna. Yang seringkali terjadi ialah menjaga ibu dan ayah menjadi beban yang digalas di bahu anak bukannya tanggung jawab. Oleh itu janganlah kita menghampakan harapan ibu dan ayah. Kita tidak tahu berapa hari lagi yang tinggal untuk kita terus berbakti dan membalas jasa mereka kerana mengikut hokum alamnya merekalah yang akan meninggalkan kita Sedangkan kasih sayang mereka tidak pernah luak dan berubah dari saat pertama kita dilahirkan hinggalah ke saat ini. Sayangilah mereka sebelum terlewat kerana setinggi mana sayang kita pada mereka, tinggi lagi cinta dan kasih mereka kepada kita.

0 comments:

Post a Comment